Sunday, December 27, 2015

ISU - KADAR LITERASI DAN NUMERASI

KADAR LITERASI DAN NUMERASI

MenurutKamus Dewan Edisi Keempat literasi bermaksud kebolehan menulis dan membaca dengan erti kata lain adalah celik huruf.  Peningkatan yang signifikan dalam akses kepada pendidikan disusuli dengan peningkatan dalam pencapaian murid. Kadar literasi remaja telah meningkat daripada 88% pada 1990 kepada kadar hampir menyeluruh iaitu sebanyak 99% masa kini, manakala kadar literasi dewasa telah meningkat secara mendadak, iaitu daripada kurang 70% kepada lebih 92% dalam jangka masa yang sama. Seterusnya, kadar populasi dewasa (berusia 15 tahun ke atas) yang tidak mengikuti persekolahan telah menurun, daripada 60% pada tahun 1950 kepada kurang 10% pada tahun 2010. Manakala kadar populasi (berusia 15+) yang menamatkan pendidikan menengah telah meningkat daripada kira-kira 7% pada 1950 kepada hampir 75% dalam tempoh yang sama. Pencapaian ini adalah sesuatu yang membanggakan negara.

Program Penyaringan Literasi dan Numerasi (LINUS) telah diperkenalkan pada tahun 2010 untuk memastikan setiap kanak-kanak mempunyai kemahiran membaca dan mengira dalam tempoh tiga tahun pertama persekolahan. Definisi literasi secara operasi ialah keupayaan membaca, menulis dan memahami perkataan,ayat tunggal dan ayat majmuk yang mudah (menggunakan kata hubung) dalam Bahasa Malaysia dan mengaplikasikan pengetahuan dalam pembelajaran  dan komunikasi harian. Manakala,  definisi secara operasi bagi numerasi ialah kebolehan untuk melakukan operasi asas matematik dan memahami idea matematik yang mudah serta mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran matematik dalam kehidupan harian.

Menerusi laporan RMK-10, program ini telah meningkatkan tahap literasi Bahasa Melayu daripada 84.9% kepada 99.8% dan kemahiran numerasi daripada 90.9% kepada 99.9% dalam tempoh 2010-2012. LINUS telah diperluas untuk merangkumi literasi Bahasa Inggeris dalam tahun 2013 dan telah meningkatkan tahap literasi murid tahun satu daripada 50% kepada 63% dalam tempoh empat bulan.

No comments:

Post a Comment