Sunday, December 27, 2015

ISU - PRESTASI KOGNITIF MURID BERBANDING STANDARD ANTARABANGSA

PRESTASI KOGNITIF MURID BERBANDING STANDARD ANTARABANGSA

Tumpuan pendidikan kini adalah melangkaui objektif  memperoleh ilmu pengetahuan dan menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira) bahkan juga membangun kemahiran berfikir aras tinggi.

Keputusan peperiksaan awam menunjukkan prestasi murid Malaysia telah meningkat sejak beberapa dekad yang lalu. Namun pencapaian murid dalam pentaksiran antarabangsa ; Programme for International Student Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) menunjukkan situasi yang berlawanan. Pentaksiran antarabangsa menunjukkan prestasi murid Malaysia semakin merosot. Sepanjang dua dekad yang lalu, pentaksiran antarabangsa seperti TIMSS dan PISA telah muncul sebagai kaedah perbandingan langsung tentang kualiti keberhasilan pendidikan merentas pelbagai sistem. Kaedah ini mentaksir pelbagai kemahiran kognitif seperti aplikasi dan penaakulan. Sistem pendidikan negara lain diperhatikan dapat meningkatkan prestasi murid dengan lebih cepat dan mampu mengekalkan momentum tersebut secara berterusan. Justeru, jurang pencapaian antara sistem pendidikan Malaysia dan negara lain semakin lebar.

Ketika Malaysia mengambil bahagian dalam TIMSS buat julung kalinya pada 1999, skor purata murid mengatasi purata antarabangsa dalam Matematik dan Sains. Penyertaan dalam pusingan yang terkini pada 2011 menunjukkan prestasi murid Malaysia menurun ke tahap di bawah purata antarabangsa bagi Matematik dan Sains, disusuli penurunan dari segi kedudukan negara. Lebih kritikal lagi, 35% dan 38% murid Malaysia gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam Matematik dan Sains pada 2011, penurunan dua hingga empat kali ganda iaitu daripada 7% dan 13% masing-masing pada 1999.

Murid ini dikenal pasti memiliki penguasaan konsep asas matematik dan sains yang terhad. Keputusan PISA 2009+ (penyertaan kali pertama Malaysia) juga tidak memberangsangkan kerana kedudukan Malaysia terletak dalam kelompok sepertiga terbawah dalam kalangan 74 negara peserta. Pencapaian ini juga meletakkan Malaysia di bawah pencapaian purata antarabangsa dan OECD. Hampir 60% murid berumur 15 tahun yang menyertai PISA 2009+ gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam Matematik, manakala 44% dalam Bacaan dan 43% dalam Sains tidak mencapai tahap kemahiran minimum. Perbezaan skor sebanyak 38 mata dalam skala PISA adalah bersamaan dengan satu tahun persekolahan. Perbandingan skor ini menunjukkan murid berumur 15 tahun  di Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Shanghai mempunyai prestasi tiga atau lebih tahun persekolahan berbanding murid berumur 15 tahun di Malaysia.

Dalam meningkatkan prestasi murid Malaysia dalam Sains dan Matematik, kualiti pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) akan dipertingkatkan melalui strategi dalam anjakan pertama PPPM.  Kurikulum, peperiksaan dan pentaksiran untuk semua mata pelajaran STEM akan dikaji semula dan penerapan kemahiran berfikir aras tinggi. Khususnya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, murid akan mendapat manfaat dengan tambahan masa pengajaran dan penekanan terhadap aplikasi pengetahuan yang praktikal melalui amali makmal dan pembelajaran berasaskan projek. Dalam tempoh interim, Kementerian akan memperkenalkan modul kurikulum tambahan untuk menangani jurang terbesar dari segi kandungan dan kemahiran dalam kalangan murid yang telah dikenal pasti melalui pentaksiran TIMSS dan PISA. Modul ini akan dilaksanakan mulai 2014. Kementerian juga akan menjalankan ujian diagnostik terhadap guru untuk mengenal pasti tahap kemahiran pedagogi dan pengetahuan kandungan mata pelajaran bagi menyediakan program peningkatan kemahiran khusus.

Selain itu,  Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) menekankan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam sistem penilaian. LPM akan meningkatkan secara berperingkat peratusan soalan yang mentaksir KBAT. Menjelang 2016, soalan berbentuk pemikiran aras tinggi akan merangkumi sekurang-kurangnya 40% daripada soalan dalam UPSR dan sekurang-kurangnya 50% daripada soalan dalam SPM. Perubahan dalam reka bentuk peperiksaan bermaksud guru tidak lagi boleh meramal soalan dan topik yang akan diuji, dan melaksanakan latih tubi bagi mengingati kandungan pelajaran. Sebaliknya, murid akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi berbeza. Pada masa yang sama, pentaksiran berasaskan sekolah juga akan menganjak tumpuan untuk menguji kemahiran berfikir aras tinggi.

No comments:

Post a Comment