Sunday, December 27, 2015

RUJUKAN

Sidek Baba (2013, November 14). PPPM: Akses pendidikan berkualiti. Sinar Harian.

Susan Albert Kassim (2011, Oktober 10). 10.83 Peratus Murid Sekolah Rendah, Menengah Tercicir. Mstar.

Pelan pembangunan pendidikan Malaysia 2013 – 2025 (2013). Putrajaya ; Kementerian Pendidikan Malaysia.


Rancangan Malaysia Kesebelas. Putrajaya : Unit Perancangan Ekonomi, JPM.

RUMUSAN

Kesamarataan akses kepada pendidikan telah ditekankan oleh kerajaan sejak dasar Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 – 2010 (PIPP) lagi dan diteruskan dalam dasar PPPM. Isu ini masih belum diselesaikan sepenuhnya, namun terdapat peningkatan daripada statistik enrolmen murid yang memasuki sekolah rendah dan menengah. Enrolmen sehingga 2014 sangat memberangsangkan dan hampir mencapai 100%. Kini fokus adalah kesamarataan untuk akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa pula. Dalam mencapai piawaian ini, pentadbiran atau sistem sekolah, guru dan murid perlu bergerak seiring meningkatkan kualiti dipihak masing-masing. Pentadbiran menyediakan kemudahan atau infrastruktur yang lengkap dan persekitaran persekolahan yang memberangsangkan serta kondusif untuk PdP. Manakala kualiti pengajaran guru perlu dipertingkatkan daripada pelbagai sudut sama ada penyampaian lisan, , aktiviti dalam kelas, tugasan kepada murid dan teknik penyoalan yang mencungkil minda dan bakat murid. Murid pula perlu proaktif dan mempunyai sikap yang positif terhadap pembelajaran mereka. Gandingan ketiga-tiga pihak ini mampu melonjakkan sekolah ke arah kecemerlangan sehingga mencapai standard antarabangsa.


ISU - BAND PRESTASI SEKOLAH

BAND PRESTASI SEKOLAH
Jadual 2 menunjukkan band dan skor komposit yang ditetapkan oleh KPM untuk sekolah rendah dan sekolah menengah. Band ini akan menandakan prestasi sesebuah sekolah dengan band terbaik adalah band 1 diikuti band 2 dan seterusnya. Penentuan skor komposit adalah berdasarkan gred purata sekolah dalam peperiksaan awam, peperiksaan sekolah, SKPM dan beberapa elemen lain. Kewujudan band ini menandakan wujudnya jurang prestasi antara sekolah.

Program Transformasi Kerajaan (GTP) ; Pendidikan berjaya mengeluarkan sekolah daripada Band 6 dan Band 7 (43.6% penurunan atau 164 sekolah pada tahun 2012, 66% atau 420 sekolah dalam GTP 1.0) dan memasukkan sekolah ke Band 1 dan Band 2 (27.1% peningkatan atau 101 sekolah pada tahun 2012, 57% atau 1009 sekolah dalam GTP 1.0). Program Penambahbaikan Sekolah  ini menyasarkan untuk merapatkan jurang antara sekolah yang berprestasi paling tinggi dan yang paling rendah dengan menyediakan sokongan dan bantuan kepada sekolah yang tergolong dalam dua kategori paling rendah, iaitu dikategorikan sebagai sekolah Band 6 dan Band 7. Sementara itu, bantuan tambahan juga diberikan kepada sekolah bagi membantu mereka meningkatkan prestasi dan menaikkan mereka ke standard Band 1 dan Band 2.

Antara inisistif kerajaan dalam meningkatkan sistem atau prestasi sesebuah sekolah adalah dengan meningkatkan standard pengajaran dengan membimbing guru di sekolah secara khusus, terutamanya bagi mata pelajaran teras Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris Matematik dan Sains: Usaha membimbing guru mengikut kesesuaian akan dimulakan dengan guru yang amat memerlukan bantuan, terutama dari sekolah Band 5, 6 dan 7, dengan memperkenalkan Pembimbing Rakan Peningkatan Sekolah (SISC+) sepenuh masa untuk mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Matematik. Sekiranya terdapat sumber tenaga yang mencukupi, Kementerian juga akan melaksanakan SISC+ bagi mata pelajaran Sains. Kumpulan pembimbing guru ini bertanggungjawab melaksanakan kurikulum dan format pentaksiran baharu serta melatih guru dalam kemahiran pedagogi. Di samping itu, satu instrumen seragam pentaksiran guru berasaskan kompetensi akan diperkenal bagi membolehkan pengetua/guru besar menilai guru secara objektif dan mengenal pasti kekuatan dan keperluan kemajuan. 

ISU - PRESTASI KOGNITIF MURID BERBANDING STANDARD ANTARABANGSA

PRESTASI KOGNITIF MURID BERBANDING STANDARD ANTARABANGSA

Tumpuan pendidikan kini adalah melangkaui objektif  memperoleh ilmu pengetahuan dan menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira) bahkan juga membangun kemahiran berfikir aras tinggi.

Keputusan peperiksaan awam menunjukkan prestasi murid Malaysia telah meningkat sejak beberapa dekad yang lalu. Namun pencapaian murid dalam pentaksiran antarabangsa ; Programme for International Student Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) menunjukkan situasi yang berlawanan. Pentaksiran antarabangsa menunjukkan prestasi murid Malaysia semakin merosot. Sepanjang dua dekad yang lalu, pentaksiran antarabangsa seperti TIMSS dan PISA telah muncul sebagai kaedah perbandingan langsung tentang kualiti keberhasilan pendidikan merentas pelbagai sistem. Kaedah ini mentaksir pelbagai kemahiran kognitif seperti aplikasi dan penaakulan. Sistem pendidikan negara lain diperhatikan dapat meningkatkan prestasi murid dengan lebih cepat dan mampu mengekalkan momentum tersebut secara berterusan. Justeru, jurang pencapaian antara sistem pendidikan Malaysia dan negara lain semakin lebar.

Ketika Malaysia mengambil bahagian dalam TIMSS buat julung kalinya pada 1999, skor purata murid mengatasi purata antarabangsa dalam Matematik dan Sains. Penyertaan dalam pusingan yang terkini pada 2011 menunjukkan prestasi murid Malaysia menurun ke tahap di bawah purata antarabangsa bagi Matematik dan Sains, disusuli penurunan dari segi kedudukan negara. Lebih kritikal lagi, 35% dan 38% murid Malaysia gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam Matematik dan Sains pada 2011, penurunan dua hingga empat kali ganda iaitu daripada 7% dan 13% masing-masing pada 1999.

Murid ini dikenal pasti memiliki penguasaan konsep asas matematik dan sains yang terhad. Keputusan PISA 2009+ (penyertaan kali pertama Malaysia) juga tidak memberangsangkan kerana kedudukan Malaysia terletak dalam kelompok sepertiga terbawah dalam kalangan 74 negara peserta. Pencapaian ini juga meletakkan Malaysia di bawah pencapaian purata antarabangsa dan OECD. Hampir 60% murid berumur 15 tahun yang menyertai PISA 2009+ gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam Matematik, manakala 44% dalam Bacaan dan 43% dalam Sains tidak mencapai tahap kemahiran minimum. Perbezaan skor sebanyak 38 mata dalam skala PISA adalah bersamaan dengan satu tahun persekolahan. Perbandingan skor ini menunjukkan murid berumur 15 tahun  di Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Shanghai mempunyai prestasi tiga atau lebih tahun persekolahan berbanding murid berumur 15 tahun di Malaysia.

Dalam meningkatkan prestasi murid Malaysia dalam Sains dan Matematik, kualiti pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) akan dipertingkatkan melalui strategi dalam anjakan pertama PPPM.  Kurikulum, peperiksaan dan pentaksiran untuk semua mata pelajaran STEM akan dikaji semula dan penerapan kemahiran berfikir aras tinggi. Khususnya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, murid akan mendapat manfaat dengan tambahan masa pengajaran dan penekanan terhadap aplikasi pengetahuan yang praktikal melalui amali makmal dan pembelajaran berasaskan projek. Dalam tempoh interim, Kementerian akan memperkenalkan modul kurikulum tambahan untuk menangani jurang terbesar dari segi kandungan dan kemahiran dalam kalangan murid yang telah dikenal pasti melalui pentaksiran TIMSS dan PISA. Modul ini akan dilaksanakan mulai 2014. Kementerian juga akan menjalankan ujian diagnostik terhadap guru untuk mengenal pasti tahap kemahiran pedagogi dan pengetahuan kandungan mata pelajaran bagi menyediakan program peningkatan kemahiran khusus.

Selain itu,  Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) menekankan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam sistem penilaian. LPM akan meningkatkan secara berperingkat peratusan soalan yang mentaksir KBAT. Menjelang 2016, soalan berbentuk pemikiran aras tinggi akan merangkumi sekurang-kurangnya 40% daripada soalan dalam UPSR dan sekurang-kurangnya 50% daripada soalan dalam SPM. Perubahan dalam reka bentuk peperiksaan bermaksud guru tidak lagi boleh meramal soalan dan topik yang akan diuji, dan melaksanakan latih tubi bagi mengingati kandungan pelajaran. Sebaliknya, murid akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi berbeza. Pada masa yang sama, pentaksiran berasaskan sekolah juga akan menganjak tumpuan untuk menguji kemahiran berfikir aras tinggi.

ISU - KADAR LITERASI DAN NUMERASI

KADAR LITERASI DAN NUMERASI

MenurutKamus Dewan Edisi Keempat literasi bermaksud kebolehan menulis dan membaca dengan erti kata lain adalah celik huruf.  Peningkatan yang signifikan dalam akses kepada pendidikan disusuli dengan peningkatan dalam pencapaian murid. Kadar literasi remaja telah meningkat daripada 88% pada 1990 kepada kadar hampir menyeluruh iaitu sebanyak 99% masa kini, manakala kadar literasi dewasa telah meningkat secara mendadak, iaitu daripada kurang 70% kepada lebih 92% dalam jangka masa yang sama. Seterusnya, kadar populasi dewasa (berusia 15 tahun ke atas) yang tidak mengikuti persekolahan telah menurun, daripada 60% pada tahun 1950 kepada kurang 10% pada tahun 2010. Manakala kadar populasi (berusia 15+) yang menamatkan pendidikan menengah telah meningkat daripada kira-kira 7% pada 1950 kepada hampir 75% dalam tempoh yang sama. Pencapaian ini adalah sesuatu yang membanggakan negara.

Program Penyaringan Literasi dan Numerasi (LINUS) telah diperkenalkan pada tahun 2010 untuk memastikan setiap kanak-kanak mempunyai kemahiran membaca dan mengira dalam tempoh tiga tahun pertama persekolahan. Definisi literasi secara operasi ialah keupayaan membaca, menulis dan memahami perkataan,ayat tunggal dan ayat majmuk yang mudah (menggunakan kata hubung) dalam Bahasa Malaysia dan mengaplikasikan pengetahuan dalam pembelajaran  dan komunikasi harian. Manakala,  definisi secara operasi bagi numerasi ialah kebolehan untuk melakukan operasi asas matematik dan memahami idea matematik yang mudah serta mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran matematik dalam kehidupan harian.

Menerusi laporan RMK-10, program ini telah meningkatkan tahap literasi Bahasa Melayu daripada 84.9% kepada 99.8% dan kemahiran numerasi daripada 90.9% kepada 99.9% dalam tempoh 2010-2012. LINUS telah diperluas untuk merangkumi literasi Bahasa Inggeris dalam tahun 2013 dan telah meningkatkan tahap literasi murid tahun satu daripada 50% kepada 63% dalam tempoh empat bulan.

ISU - PERKEMBANGAN AKSES KEPADA SISTEM PENDIDIKAN

PERKEMBANGAN AKSES KEPADA SISTEM PENDIDIKAN

Dalam meningkatkan kualiti sistem pendidikan yang setaraf dengan kualiti antarabangsa, KPM perlu memastikan masalah keciciran dalam  kalangan murid yang berumur persekolahan diselesaikan. Keciciran dalam kalangan murid bererti tidak mengikuti sistem persekolahan di bawah KPM. Ketika negara mencapai kemerdekaan, lebih separuh daripada populasi tidak mendapat pendidikan formal, hanya 6% kanak-kanak menerima pendidikan peringkat menengah dan 1% sahaja mendapat pendidikan lepas menengah.

Pada 2011, enrolmen di peringkat pendidikan rendah telah hampir sejagat, iaitu 94%. Peratus ini meningkat kepada 97.9% pada 2014. Kadar enrolmen di peringkat menengah rendah (Tingkatan 1 hingga 3) meningkat kepada 87%. Peningkatan  terbesar berlaku di peringkat menengah atas (Tingkatan 4 hingga 5), dengan kadar enrolmen meningkat hampir dua kali ganda daripada 45% pada 1980-an kepada 78% pada 2011. Kadar enrolmen ini lebih tinggi sekiranya enrolmen di sekolah swasta juga diambil kira, iaitu 96% peringkat rendah, 91% menengah rendah, dan 82% menengah atas. Pada 2014, kadar penyertaan adalah 90% 9Tingkatan 1 hingga 5). Laporan Rancangan Malaysia kesepuluh (RMK-10) menunjukkan 90.7% enrolmen prasekolah pada tahun 2014, meningkat daripada 72.4% pada tahun 2010.

Peningkatan ini disebabkan beberapa faktor. Pertama, KPM telah menguatkuasakan pendidikan wajib di peringkat sekolah rendah yang mula dilaksanakan sejak 2003. Jika ada ibu bapa yang didapati tidak menghantar anak-anak ke sekolah, mereka akan dikenakan hukuman penjara. Namun tiada sebarang sekatan undang-undang dikenakan terhadap kegagalan berbuat demikian di sekolah menengah. Faktor kedua adalah  pemansuhan yuran  di semua sekolah rendah dan menengah kerajaan bermula tahun 2012. Ini bermaksud pendidikan di kedua-dua peringkat ini adalah percuma. Justeru tiada alasan kepada keluarga berpendapatan rendah untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

Selain itu, pihak KPM turut menjalankan kajian berkaitan keciciran murid dalam sistem pendidikan negara untuk menyediakan data murid tercicir daripada sistem pendidikan yang dijangka siap pada akhir tahun hadapan. Pada masa yang sama, Jawatankuasa Penyiasatan Murid Cicir (JPMC) juga ditubuhkan di peringkat sekolah, pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan KPM untuk membuat siasatan ke atas masalah keciciran murid.

PPPM DAN KESAMARATAAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI BERTARAF ANTARABANGSA.

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013 – 2025

Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa merupakan anjakan pertama dalam PPPM.  Matlamat utama adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang memiliki pengetahuan, kemahiran berfikir secara kritis kemahirankepemimpinan, kemahiran bahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional untuk berjaya dalam abad ke-21. Kemahiran kognitif di samping kemahiran insaniah ini akan membantu survival murid sepanjang hayatnya terutama dalam alam pekerjaan. Pentaksiran antarabangsa TIMSS dan PISA menunjukkan murid di Malaysia sukar mengaplikasi kemahiran berfikir aras tinggi. Kaji selidik yang dijalankan ke atas syarikat Malaysia dan syarikat antarabangsa juga mendapati bahawa murid Malaysia gagal menguasai kemahiran insaniah yang diperlukan oleh bakal majikan.

Keberhasilan anjakan petama ini diukur melalui tahap keberhasilan murid dan amalan pembelajaran akan ditanda aras dan diselaraskan mengikut standard yang diguna pakai oleh sistem pendidikan berprestasi tinggi, supaya murid Malaysia mampu bersaing di peringkat global.  Langkah seterusnya,  murid yang memerlukan bimbingan tambahan akan mendapat akses kepada bantuan yang bersesuaian dengan keperluan, bagi menjamin kejayaan mereka di sekolah.


STRATEGI MENYAMARATAKAN  AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI BERTARAF ANTARABANGSA.

Lapan strategi telah di kenal pasti dalam usaha menyamaratakan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa iaitu :

  • Menanda aras pembelajaran bahasa, Matematik dan Sains dengan standard antarabangsa.
  • Melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada 2017.
  •  Merombak peperiksaan kebangsaan dan pentaksiran
  • Meningkatkan kualiti pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).
  • Memperluas akses dan meningkatkan kualiti laluan pendidikan, bermula dengan pendidikan vokasional.
  • Meningkatkan kualiti prasekolah dan menggalakkan enrolmen sejagat menjelang 2020.
  • Meningkatkan pelaburan dalam sumber fizikal dan sumber pengajaran untuk murid berkeperluan khusus.
  • Melanjutkan pendidikan wajib daripada 6 tahun kepada 11 tahun bermula pada umur 6 tahun dan ke atas, disokong dengan program pengekalan yang disasarkan. 

PENGENALAN

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat mendefinisikan akses sebagai capaian. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2015 (PPPM) menggariskan akses sebagai salah satu daripada lima keberhasilan bagi sistem pendidikan Malaysia. Melalui aspirasi ini, setiap kanak-kanak warganegara Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing. Menjelang 2020, sasaran kementerian adalah memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas (Tingkatan 5) menjelang 2020. Sidek Baba (2013) menyatakan akses kepada pendidikan berkualiti terhubung langsung dengan keupayaan sekolah, kualiti guru dan kurikulum dan keupayaan proses mendidik menyebabkan perubahan tidak saja berlaku di tahap kognitif tetapi ia terlihat pada binaan sahsiah dan watak.