PRESTASI KOGNITIF MURID BERBANDING
STANDARD ANTARABANGSA
Tumpuan
pendidikan kini adalah melangkaui objektif memperoleh ilmu pengetahuan dan menguasai 3M
(membaca, menulis dan mengira) bahkan juga membangun kemahiran berfikir aras
tinggi.
Keputusan peperiksaan awam menunjukkan prestasi
murid Malaysia telah meningkat sejak beberapa dekad yang lalu. Namun pencapaian
murid dalam pentaksiran antarabangsa ; Programme
for International Student Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS)
menunjukkan situasi yang berlawanan. Pentaksiran antarabangsa menunjukkan
prestasi murid Malaysia semakin merosot. Sepanjang dua dekad yang lalu,
pentaksiran antarabangsa seperti TIMSS dan PISA telah muncul sebagai kaedah
perbandingan langsung tentang kualiti keberhasilan pendidikan merentas pelbagai
sistem. Kaedah ini mentaksir pelbagai kemahiran kognitif seperti aplikasi dan penaakulan.
Sistem pendidikan negara lain diperhatikan dapat meningkatkan prestasi murid
dengan lebih cepat dan mampu mengekalkan momentum tersebut secara berterusan. Justeru,
jurang pencapaian antara sistem pendidikan Malaysia dan negara lain semakin
lebar.
Ketika Malaysia mengambil bahagian dalam TIMSS buat
julung kalinya pada 1999, skor purata murid mengatasi purata antarabangsa dalam
Matematik dan Sains. Penyertaan dalam pusingan yang terkini pada 2011
menunjukkan prestasi murid Malaysia menurun ke tahap di bawah purata
antarabangsa bagi Matematik dan Sains, disusuli penurunan dari segi kedudukan
negara. Lebih kritikal lagi, 35% dan 38% murid Malaysia gagal mencapai tahap
kemahiran minimum dalam Matematik dan Sains pada 2011, penurunan dua hingga
empat kali ganda iaitu daripada 7% dan 13% masing-masing pada 1999.
Murid ini dikenal pasti memiliki penguasaan konsep
asas matematik dan sains yang terhad. Keputusan PISA 2009+ (penyertaan kali
pertama Malaysia) juga tidak memberangsangkan kerana kedudukan Malaysia
terletak dalam kelompok sepertiga terbawah dalam kalangan 74 negara peserta. Pencapaian
ini juga meletakkan Malaysia di bawah pencapaian purata antarabangsa dan OECD. Hampir
60% murid berumur 15 tahun yang menyertai PISA 2009+ gagal mencapai tahap
kemahiran minimum
dalam Matematik, manakala 44% dalam Bacaan dan 43% dalam Sains tidak mencapai
tahap kemahiran minimum. Perbezaan skor sebanyak 38 mata dalam skala PISA
adalah bersamaan dengan satu
tahun persekolahan. Perbandingan skor ini menunjukkan murid berumur 15 tahun di Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Shanghai
mempunyai prestasi tiga atau lebih tahun persekolahan berbanding murid berumur
15 tahun di Malaysia.
Dalam meningkatkan prestasi murid Malaysia dalam
Sains dan Matematik, kualiti pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan
Matematik (STEM) akan dipertingkatkan melalui strategi dalam anjakan pertama
PPPM. Kurikulum, peperiksaan dan
pentaksiran untuk semua mata pelajaran STEM akan dikaji semula dan penerapan
kemahiran berfikir aras tinggi. Khususnya dalam mata pelajaran Sains dan
Matematik, murid akan mendapat manfaat dengan tambahan masa pengajaran dan
penekanan terhadap aplikasi pengetahuan yang praktikal melalui amali makmal dan
pembelajaran berasaskan projek. Dalam tempoh interim, Kementerian akan memperkenalkan
modul kurikulum tambahan untuk menangani jurang terbesar dari segi kandungan dan
kemahiran dalam kalangan murid yang telah dikenal pasti melalui pentaksiran
TIMSS dan PISA. Modul ini akan dilaksanakan mulai 2014. Kementerian juga akan
menjalankan ujian diagnostik terhadap guru untuk mengenal pasti tahap kemahiran
pedagogi dan pengetahuan kandungan mata pelajaran bagi menyediakan program
peningkatan kemahiran khusus.
Selain itu, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) menekankan
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam sistem penilaian. LPM akan meningkatkan
secara berperingkat peratusan soalan yang mentaksir KBAT. Menjelang 2016,
soalan berbentuk pemikiran aras tinggi akan merangkumi sekurang-kurangnya 40%
daripada soalan dalam UPSR dan sekurang-kurangnya 50% daripada soalan dalam
SPM. Perubahan dalam reka bentuk peperiksaan bermaksud guru tidak lagi boleh
meramal soalan dan topik yang akan diuji, dan melaksanakan latih tubi bagi
mengingati kandungan pelajaran. Sebaliknya, murid akan dilatih untuk berfikir
secara kritis dan mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi berbeza. Pada masa
yang sama, pentaksiran berasaskan sekolah juga akan menganjak tumpuan untuk
menguji kemahiran berfikir aras tinggi.